Monday

Ramadhan! Mu Tunggu Aku Datang...

Alhamdulillah program bersama putera dan puteri Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Jeli telah berjaya disempurnakan dengan baik. Ramadhan! Mu Tunggu Aku Datang... dijadikan sebagai tajuk perbincangan dalam kuliah maghrib tersebut.


Penyampaian dimulakan dengan mengemukakan konsep insan yang perlu difahami dan hayati sebagai asas perbincangan seterusnya. Roh, Akal, Jasmani dan Emosi merupakan unsur utama yang membentuk seorang insan sebagai sebaik-baik makhluk ciptaan Allah SWT.


Interaksi secara dua hala begitu rancak apabila mereka dengan petah menyambut setiap persoalan yang dilontarkan. Terserlah sifat keyakinan diri dan keilmuan yang mereka miliki.


Peluang bersama putera dan puteri terpilih dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyuntik kesedaran bahawa mereka adalah insan-insan pilihan Allah SWT untuk berada di sebuah institusi pendidikan yang terbaik. Mereka juga menggalas tanggungjawab untuk melebarkan kelebihan yang dimiliki untuk masyarakat umum khususnya golongan remaja di luar sana yang menghadapi pelbagai cabaran.


Antara pengisian utama program ialah perkongsian berkenaan dua orang tokoh yang didik sejak dari kecil untuk membesar sebagai pemimpin ummah. Pertamanya ialah Salahuddin Al Ayyubi dan keduanya ialah Sultan Muhammad Al Fateh. Kedua-dua tokoh ini menjadi bukti bahawa keperibadian yang unggul perlu dibentuk dan dididik dengan panduan dan ajaran Islam. Ketinggian kualiti Roh, Akal, Jasad dan Emosi tokoh-tokoh ini membantu mereka menjadi pemimpin ummah yang mithali


Masyarakat pada hari ini memerlukan tokoh-tokoh yang dapat membimbing mereka menghadapi serangan daripada pelbagai sudut. Umat Islam hari ini Rohnya dilemahkan dan dilalaikan dengan pelbagai hiburan, Akalnya ditumpulkan dengan pelbagai bahan pornografi dan bahan bacaan tidak berfaedah, Jasmaninya dilemahkan dengan pelbagai makanan yang kabur status halalnya dan juga ketagihan pada dadah dan rokok, Emosinya dilemahkan dengan kecintaan terhadap dunia dan pergantungan terhadap manusia.


Seterusnya penyampaian difokuskan pada perbincangan berkaitan falsafah pensyariatan ibadah PUASA ke atas umat Islam. Antaranya ialah mengembalikan semula umat Islam kepada status fitrah seperti yang telah diciptakan oleh Allah SWT. Akhirnya matlamat TAQWA menjadi sasaran yang perlu dicapai daripada ibadah puasa yang dilaksanakan.


Kami mendoakan putera dan puteri semua dikurniakan taufik dan hidayah oleh Allah SWT untuk mengembangkan potensi diri menjadi generasi pelapis yang bakal mencorak ummah pada masa hadapan.

Ramadhan Wadah Pelaburan Hasanah Dunia & Hasanah Akhirat @ 25 Jun 2014

Alhamdulillah... amanah untuk mengendalikan program Ihya' Ramadhan bersama warga kerja Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jeli telah berjaya dilaksanakan.


Antara topik utama penyampaian ialah bagaimanakah usaha untuk menjadikan Ramadhan yang penuh barakah ini untuk mencapai kebaikan bersifat jangka panjang di dunia dan kebaikan di akhirat.


Muqaddimah program dimulakan dengan pendedahan situasi dan suasana umat Islam di luar negara dalam melaksanakan agenda pendidikan. Kami memilih untuk berkongsi pengalaman menjayakan kursus untuk para pendidik di seluruh negara Kampuchea sebagai bahan perbincangan.


Seterusnya perbincangan difokuskan pada peringatan oleh Allah SWT yang dirakam dalam Al Qur'an berkaitan dengan tanggungjawab untuk melahir dan membina generasi masa hadapan. Tugas dan tanggungjawab yang besar ini sangat berkait rapat dengan warga kerja di institusi pendidikan.


Program diteruskan dengan perbincangan bagaimanakah untuk memaksimumkan manfaat yang diperolehi oleh warga kerja di institusi pendidikan. Antara topik utama ialah prasyarat untuk melayakkan setiap amalan dan tindakan yang dilakukan setiap masa dikira sebagai ibadah.


Sebagai rumusan peserta diajak untuk bermuhasabah dan menilai diri masing-masing dengan menggunakan kaedah Graf Prestasi. Matlamat akhir yang dijadikan sebagai sasaran ialah menjadi hamba Allah yang berTAQWA.


Kami mendoakan warga kerja MRSM Jeli dipermudahkan segala urusan untuk melaksanakan amanah mendidik dan membina generasi yang akan bertanggungjawab mewarisi kepemimpinan ummah pada masa hadapan.

Bengkel Pelan Tindakan Pengimarahan Masjid-Masjid Jajahan Machang @ 24 Jun 2014

Alhamdulillah kami telah diamanahkan untuk mengendalikan Bengkel Pelan Tindakan Pengimarahan Masjid yang dianjurkan oleh Pejabat Agama Jajahan Machang. Bengkel ini melibatkan Imam dan juga wakil-wakil masjid daripada seluruh Jajahan Machang. Objektif bengkel adalah untuk menyediakan pelan tindakan yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada pihak pengurusan masjid.


Sesi pertama bengkel dimulakan dengan Ucaptama oleh Al Fadhil Ustaz Muhammad Hafizi Hj Ramli iaitu Imam Masjid Bandar Machang dengan tajuk "Kepentingan Usaha Pengimarahan Masjid Secara Strategik"


Ucaptama telah mengupas sirah kegemilangan masjid pada zaman Rasulullah SAW. serta mengimbau kembali bagaimana fungsi dan peranan masjid sebagai nadi utama ummah. Peserta bengkel diseru untuk bersama-sama melipatgandakan usaha untuk memperkasakan peranan masjid masing-masing.


Sesi seterusnya ialah pembentangan Draf Pelan Tindakan Pengimarahan Masjid oleh Y.Brs. Al Fadhil Ustaz Mohamad Hilmie Hj Mat Daud iaitu Pegawai Agama Jajahan Machang.


Peserta bengkel telah didedahkan dengan inisiatif-inisiatif utama yang dicadangkan untuk menjadi tonggak pada pelan tindakan pengimarahan masjid. Setiap inisiatif tersebut juga dikemukakan aktiviti-aktiviti dan program-program yang dicadangkan khusus untuk merealisasikan pelan tindakan.


Sesi seterusnya ialah Munaqasyah untuk memberi peluang kepada peserta bengkel memberi respon dan maklumbalas serta membuat komentar terhadap draf pelan tindakan yang telah dibentangkan.


Bengkel juga memberi peluang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman segi amalan terbaik yang pernah dilaksanakan di masjid mereka. Pada masa yang sama menjana idea dan minda untuk mengatasi permasalahan yang menjadi cabaran pada pengurusan masjid.


Antara usul utama yang dikemukakan dalam bengkel ini ialah keperluan kritikal pada usaha dan inisiatif untuk membina jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak. Penggemblengan usaha ini diharapkan dapat menyemarakkan lagi usaha pengimarahan masjid.

 

Draf pelan tindakan pengimarahan masjid ini akan diedarkan ke seluruh masjid di Jajahan Machang setelah proses penambahbaikan dibuat oleh pihak urusetia. Kami mendoakan segala usaha untuk mengimarahkan masjid dipermudahkan oleh Allah SWT.

Pengurusan Kewangan & Pengurusan Masa @ 17 Jun 2014

Alhamdulillah... Perunding Utama, Wise Maneuver Solution telah diamanahkan untuk mengendalikan slot Pengurusan Kewangan & Pengurusan Masa untuk 90 orang bakal pengantin. 


Program yang melibatkan peserta dari pelbagai latar belakang ini telah diadakan di dewan Pejabat Agama Jajahan Machang.


Antara perkara yang disentuh ialah berkenaan dengan bahaya riba yang diumpamakan di dalam Al Qur'an sebagai mengisytiharkan perang terhadap Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Peserta diberi peringatan berkaitan unsur-unsur transaksi kewangan yang boleh memerangkap mereka dalam risiko riba.


Peserta juga dijelaskan berkaitan dengan konsep hutang yang disentuh secara khusus di dalam Al Qur'an secara panjang lebar. Perangkap hutang berisiko menjeremuskan mereka ke dalam belenggu yang berpanjangan sepanjang hayat.


Sebahagian daripada perkara yang disentuh dalam topik pengurusan masa ialah peringatan Rasulullah SAW supaya kita sentiasa berwaspada terhadap lima status kedudukan iaitu muda, sihat, kaya, lapang dan hidup. Barangsiapa yang terpedaya dengan godaan dunia akan hidup dalam kelalaian dan akhirnya akan menyesal apabila ajal bakal tiba.


Sebagai penutup, peserta diseru untuk sentiasa berusaha menambah ilmu pengetahuan sebagai bekalan untuk mengemudi bahtera perkahwinan dan seterusnya membina sebuah keluarga yang beriman. Antaranya ialah dengan cara membaca bahan-bahan ilmu yang boleh dijadikan sebagai panduan berguna.


Kami mendoakan semua peserta dipermudahkan oleh Allah SWT dalam urusan walimah masing-masing. Seterusnya diberikan taufik dan hidayah untuk mengemudi kehidupan berkeluarga berpandukan syariat Islam sebagai satu cara hidup.