Monday

Kem Remaja Sahabat PAJM 30 Ogos 2014

Alhamdulillah Kem Remaja Sahabat PAJM telah dapat dilaksanakan dengan jayanya bertempat di Masjid Mukim Pemanok, Machang. Sekalung penghargaan buat pihak Pejabat Agama Jajahan Machang di atas penganjuran  program yang sangat bermanfaat ini.


Setiap peserta dibekalkan dengan fail bahan kursus yang mengandungi kertas catatan, pen dan salinan nota kursus.


Kem dimulakan dengan sesi taklimat untuk mendedahkan peserta maklumat perjalanan kem secara keseluruhannya. Di akhir taklimat kami sama-sama mengalunkan nasyid untuk menyemarakkan lagi mood peserta mengikuti sesi berikutnya selepas minum pagi.


Peserta didedahkan dengan peranan dan tanggungjawab sebagai Sahabat PAJM yang diletakkan harapan untuk membantu pihak masjid merancakkan lagi proses pengimarahan masjid mukim. Sesi tayangan klip video terpilih yang memaparkan tokoh dan personaliti remaja Islam yang boleh dijadikan sebagai contoh.


Slot seterusnya ialah aktiviti tugasan di dalam kumpulan. Setiap kumpulan diberikan tugasan sebagai Sahabat PAJM. Perbincangan dibuat untuk menggubal perancangan kumpulan masing-masing bagi melaksanakan tugasan yang telah diberi.



Hasil perbincangan dilakarkan di atas kertas majung dengan menggunakan daya kreativiti dan kebolehan masing-masing.



Seterusnya para peserta diberikan peluang untuk membentangkan hasil perbincangan mereka. Selain memberi peluang mereka untuk mengeluarkan pendapat, sesi pembentangan juga dapat memupuk keberanian mereka untuk melakukan pengucapan awam. Bagi memupuk sifat kebertanggungjawaban, saya meminta semua ahli kumpulan tampil ke hadapan semasa sesi pembentangan kumpulan masing-masing. Mereka juga perlu bersedia untuk memberi respon pada pertanyaan audien.


Selepas selesai sesi Perasmian Penutup oleh Yang Berusaha Al Fadhil Ustaz Mohamad Hilmie Hj Mat Daud, Pegawai Agama Jajahan Machang, telah diadakan sesi bergambar bersama para peserta. Seterusnya kami solat Zohor secara berjamaah di masjid dan menikmati jamuan tengahari sebelum bersurai.



Sunday

Kursus Pengurusan Sumber Keluarga 18 Ogos 2014

Alhamdulillah tugasan dan amanah untuk mengendalikan slot Pengurusan Sumber Keluarga bersama bakal pengantin telah berjaya ditunaikan. Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pejabat Agama Jajahan Machang sebagai pihak penganjur yang telah sudi menjemput kami.


Jumlah peserta yang seimbang di antara lelaki dan perempuan kelihatan bersemangat untuk mengikuti dua topik utama yang dibincangkan iaitu pengurusan kewangan dan juga pengurusan masa secara berkesan


Saya berkongsi kaedah pengurusan masa menggunakan jadual yang dibuat sendiri. Jadual ini saya telah gunakan semasa berkhidmat di salah sebuah perpustakaan kolej swasta di ibukota. Saya mempunyai tiga jadual bertugas iaitu;
1) Bermula jam 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang
2) Bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 7.00 malam
3) Bermula jam 1.00 petang sehingga jam 9.00 malam

Justeru, saya memerlukan jadual yang ringkas dan padat untuk dijadikan sebagai rujukan waktu saya bertugas kerana seringkali berlaku perubahan dan pertukaran jadual.

Koleksi arkib saya yang berusia lebih satu dekad ini saya pertontonkan untuk menjadi inspirasi para peserta.


Jadual ini hanya menggunakan sekeping kertas A4 yang dilipat menjadi saiz poket kemeja saya. Jadi hasilnya saya dapat mencatat jadual untuk dua bulan di bahagian hadapan kertas dan 2 bulan lagi di bahagian belakang kertas.


Seterusnya saya berkongsi satu lagi alat bantu pengurusan sumber iaitu "planner" atau perancangan eksekutif yang telah saya manfaatkan semasa berkhidmat di sebuah syarikat perunding di ibukota. Planner ini dapat membantu untuk merancang program dan aktiviti secara bulanan.


Akhir sekali saya juga berkongsi planner buatan sendiri yang saya gunakan sekarang setelah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Saya memilih untuk mencetaknya sendiri untuk membolehkan saya memasukkan beberapa item penting membantu saya menguruskan sumber dengan lebih cekap dan berkesan.