Alhamdulillah dapat menyempurnakan amanah mengendalikan Bengkel Motivasi
Remaja Iman di Dewan Komuniti GDW Laklok Machang. Bengkel anjuran Pejabat Agama
Jajahan Machang ini dikhususkan untuk remaja di sekitar kawasan Laklok Machang
sempena dengan cuti persekolahan.
Slot pembukaan telah dikendalikan oleh Al Fadhil Ustaz Hilmi Zakaria,
Pegawai Dakwah PAJM. Beliau mengupas ciri-ciri untuk menjadikan diri sebagai
seorang remaja beriman dan pelbagai cabaran yang bakal dihadapi.
Bengkel diteruskan dengan aktiviti berkumpulan iaitu latihan kemahiran menggubal
perancangan untuk mencapai matlamat diri. Kaedah “Kanvas Model Berlian” (KMB)
dijadikan sebagai medium untuk membiasakan peserta membuat perancangan.
Tahap kreativiti peserta terserlah apabila ada kumpulan yang memaklumkan
mahu melakukan nilai tambah pada kaedah KMB. Mereka bercadang menggubakan
kaedah “Hibiscus” (Bunga Raya). Saya mengalu-alukan keinginan mereka dan
tertunggu-tunggu apakah hasilnya.
Seterusnya setiap kumpulan diberikan peluang untuk membentangkan hasil
kerja kumpulan mereka di hadapan kawan-kawan yang lain. Pada akhir setiap
pembentangan saya akan memberikan komentar dan ulasan untuk penambahbaikan.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak pengurusan
GDW Laklok di atas kerjasama yang diberikan. Tidak lupa juga kepada warga PAJM
yang turut sama bertungkus lumus untuk menjayakan program.