Wednesday

Kem Rehabilitasi Rakan Muda, Jabatan Belia & Sukan, 15-17 April 2016

Alhamdulillah dapat menyempurnakan tugasan untuk Kem Rehabilitasi Rakan Muda anjuran Jabatan Belia & Sukan Negeri Kelantan yang telah diadakan di Kem ABC Janda Baik, Bentong Pahang.

Selaku fasilitator yang mewakili Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan, tugasan utama saya ialah memfokuskan pada pengisian kerohanian sepanjang tiga hari kem berlangsung.


Kami memulakan musafir seawal pagi menuju ke lokasi yang telah ditetapkan iaitu Kem ABC di Janda Baik, Bentong Pahang.


Setelah selesai urusan pendaftaran dan penginapan kami makan malam dan menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjamaah di surau kem. Seterusnya adalah acara dewan.
Saya membuat pengisian untuk salah satu slot acara dewan iaitu diskusi berkisar pada topik Kepentingan Ilmu Sebagai Bekalan Hidup.


Hari kedua dimulakan dengan solat Subuh secara berjamaah kemudian diikuti dengan senaman Malaysia Cergas. 


Selepas sarapan pagi, para peserta diberikan peluang untuk mengenal potensi dan membuat refleksi diri menerusi beberapa aktiviti dengan bimbingan para fasilitator. Aktiviti dengan iringan bunyi deruan aliran sungai kecil dan kicauan burung di pagi hari membangkitkan suasana yang sungguh menyegarkan.


Aktiviti seterusnya ialah Eksplorasi Ibukota untuk memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada para peserta. Kami keluar daripada kem menuju ke Kuala Lumpur dan Putrajaya.


Sekembalinya daripada ibukota pada lewat senja, kami makan malam dan menunaikan solat Maghrib dan Isyak berjamaah. Seterusnya ialah aktiviti Pembinaan Pasukan untuk memupuk semangat kerjasama dan saling tolong-menolong.














Para peserta sungguh bertuah kerana pada penghujung sesi ini dapat bersama-sama dengan Encik Nasuha Shamsuddin iaitu Pendaki Termuda Everest. Beliau berkongsi pengalaman dan menitipkan nasihat dan pesanan buat peserta.




Selain daripada solat berjamaah secara Jamak dan Qasar, aktiviti surau juga dimanfaatkan untuk diskusi berkaitan dengan ilmu Fardhu Ain yang lain. Antaranya selepas solat Subuh, dilaksanakan praktikal mengambil wuduk dengan sebotol air mineral.


Hari ketiga kem diteruskan dengan aktiviti "Explore Race". Pelbagai aktiviti yang menguji minda, emosi dan fizikal peserta telah disusun.


Setiap kumpulan bersaing untuk menyiapkan pelbagai tugasan yang telah diberi dengan bimbingan dan pemantaun daripada fasilitator masing-masing.


Penghujung pada aktiviti, semua kumpulan dikumpulkan di padang besar. Merungkai matlamat sebenar aktiviti iaitu semangat berpasukan bukannya sekadar berjuang untuk kepentingan kumpulan "kecil" masing-masing.


Setinggi-tinggi penghargaan buat Encik Azimi dan Tim Jabatan Belia & Sukan Negeri Kelantan yang menjayakan kem dengan penuh dedikasi. Terima kasih juga kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan di atas kepercayaan yang diberikan kepada saya.

Saya doakan adik-adik peserta sentiasa berada dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT dan dikurniakan kejayaan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment